RANGKUMAN PROGRAM LANGKAH KASIH PUSPANITA KEBANGSAAN 2026 KE NEGERI SELANGOR: MENINGGALKAN JEJAK KASIH, MENGERATKAN UKHUWAH


SHAH ALAM – Program Langkah Kasih PUSPANITA Kebangsaan ke Negeri Selangor 2026 yang berlangsung selama dua hari pada 13 dan 14 Julai 2026 telah melabuhkan tirai dengan jayanya. Program julung kali ini bukan sahaja menyaksikan perhimpunan seramai ribuan ahli PUSPANITA, malah menjadi wadah penyatuan, pemerkasaan kebajikan, serta apresiasi budaya dan kelestarian alam sekitar.

Sebagai tuan rumah, PUSPANITA Negeri Selangor di bawah kepimpinan YBhg. Datin Hajah Syarmila binti Yahaya berbesar hati menyambut keberangkatan tiba delegasi PUSPANITA Kebangsaan yang diketuai oleh Yang Dipertua PUSPANITA, YBhg. Puan Sri Maheran binti Jamil.

HARI PERTAMA (13 JULAI 2026): PERMULAAN INDAH & MAJLIS RAMAH MESRA

Gema tirai hari pertama bermula penuh gilang-gemilang di Auditorium Dewan Jubli Perak, Sultan Abdul Aziz, Shah Alam menerusi Majlis Ramah Mesra Yang Dipertua PUSPANITA. Acara dimeriahkan dengan persembahan montaj, tarian selamat datang daripada pihak PADAT, serta penyampaian Anugerah Kecemerlangan Akademik, Sumbangan Kebajikan, dan cenderamata kepada Pengerusi-Pengerusi Daerah.

Selepas selesai majlis sebelah pagi, delegasi diteruskan dengan Siri Teroka Budaya ke Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri). Para peserta diraikan dengan sesi lawatan berpandu mengelilingi fasiliti masjid bersama pihak pengurusan, disusuli dengan jamuan makan tengah hari dan solat Zohor berjemaah.

Perjalanan kebajikan hari pertama diteruskan menerusi program ‘Sentuhan Prihatin: Bengkel Daya Klang’ di Taman Bayu Perdana. Ketibaan delegasi yang disambut mesra oleh Pengarah JKM Negeri Selangor, YBrs. Tuan Haji Azmir bin Kassim, disusuli dengan penyerahan sumbangan kebajikan, lawatan berpandu ke Bengkel Bakeri & Kafe, serta perasmian Pembukaan Semula Galeri Bengkel Daya Klang oleh YBhg. Puan Sri. Kemuncak acara menyaksikan para pemimpin meluangkan masa mesra menyantuni Pekerja Kurang Upaya (PKU) ketika jamuan minum petang.

Tirai hari pertama ditutup anggun menerusi Majlis Makan Malam yang menjadi platform pengukuhan jalinan kerjasama serta sesi penghargaan antara PUSPANITA Kebangsaan, barisan kepimpinan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, dan ahli PUSPANITA Negeri Selangor.

HARI KEDUA (14 JULAI 2026): MISI KEBAJIKAN & CELEBRASI KELESTARIAN

Hari kedua program menyaksikan kesinambungan semangat keprihatinan menerusi dua lokasi utama. Delegasi memulakan misi di Sekolah Rendah Agama (SRA) Seksyen 16, Shah Alam, di mana penyerahan sumbangan barangan persekolahan disempurnakan demi menyokong fasiliti pembelajaran anak-anak, selain sesi ramah mesra bersama para pelajar dan pengurusan sekolah.

Misi kebajikan kemudiannya diteruskan menerusi slot ‘Sinar Kasih’ di Hospital Selayang. Ketibaan delegasi disambut oleh Pengarah Hospital, YBrs. Dr. Afidah binti Ali. Selain penyerahan sumbangan ikhlas, delegasi PUSPANITA turut meluangkan masa menyantuni dan menceriakan pesakit kanak-kanak di Wad Pediatrik serta warga kerja hospital.

Sebagai penutup pengisian program, delegasi menyertai Siri Teroka Lestari ke PJ Eco Recycling Plaza, Petaling Jaya. Kehadiran delegasi disambut oleh Datuk Bandar MBPJ, YBhg. Dato’ Hj. Mohamad Zahri bin Hj. Samingon. Para peserta didedahkan dengan pengurusan kitar semula dan demonstrasi kreatif kraf barangan terpakai demi memupuk kesedaran alam sekitar.

PENUTUP

Penganjuran Program Langkah Kasih PUSPANITA Kebangsaan 2026 ke Negeri Selangor ini ternyata memberi impak yang mendalam dari sudut pemerkasaan organisasi, kebajikan masyarakat, dan silaturahim. PUSPANITA Negeri Selangor merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program berprestij ini. Semoga titisan kasih dan ukhuwah yang terbina akan terus mekar demi kesejahteraan komuniti dan negara.