Puspanita Selangor Berjaya Catat Rekod Malaysia

Salam TAHNIAH kepada team Puspanita Selangor yang telah berjaya catat Rekod Malaysia iaitu “Kibaran Logo Terbesar Di Dasar Laut” Cerita mengenainya mendapat liputan akhbar 🙂

Sumber berikut daripada Utusan online

KUALA LUMPUR 28 April – Enam penyelam skuba wanita yang mewakili Persatuan Suri dan Anggota Wani­ta Perkhidmatan Awam Malaysia (Pus­panita) Selangor baru-baru ini, berjaya mencatat rekod mengi­barkan logo persatuan terbesar di dasar laut melalui Malaysia Book of Records (MBR).

Enam penyelam wanita yang mewakili Puspanita Selangor gembira selepas berjaya bersama-sama mencatat rekod melalui Malaysia Book Of Records (MBOR) untuk kibaran logo persatuan terbesar di dasar laut Pulau Redang, Terengganu. UTUSAN/MOHD. HAZLI HASSAN

Kibaran logo bersaiz 15 meter panjang dengan 12.9 meter lebar itu dilakukan pada kedalaman 20 meter di perairan Teluk Kalong, Pulau Redang dekat sini pada 11 April lalu.

Ketua Biro Agama dan Kebajikan Puspanita Daerah Sepang, Yusmah Indrawati Yusup berkata, idea asal program tersebut merupakan hasil perbincangan dengan rakan-rakan di Puspanita Daerah Sepang dan mengambil masa selama empat bulan untuk koordinasi bagi menjayakan program itu dengan bantuan 10 penyelam teknikal.

“Apa yang menarik ialah, empat penyelam yang menjayakan program ini merupakan penyelam baharu dan mereka baru sahaja selesai mendapat lesen selam skuba laut terbuka dan ini memberikan sedikit cabaran kepada kami.

“Namun dengan bantuan daripada penyelam teknikal daripada Seamonkey Sdn. Bhd., persiapan dan koordinasi untuk mengibarkan logo ini akhirnya menjadi kenya­taan,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.

Wakil MBOR, Nurul Huda Zakaria yang hadir pada program berke­naan mengesahkan kejayaan yang berjaya dilakukan enam penyelam skuba Puspanita Daerah Sepang itu.

Menurut Yusmah Indrawati, program itu pada awalnya agak sukar diterima pihak Puspanita Daerah Sepang kerana melibatkan satu hobi yang agak berbahaya, namun selepas kertas cadangan yang dipersembahkan terperinci, mereka akhirnya menerima idea tersebut.

Yusmah Indrawati yang juga merupakan Pembantu Tadbir Bahagian Pentadbiran Am Dan Keurusetiaan, Majlis Perbandaran Sepang berkata, dengan kejayaan yang dilakar enam penyelam Puspanita Daerah Sepang ini, mereka berhasrat untuk menambah bilangan penyelam skuba wanita di setiap daerah yang ada di Selangor.

“Kejayaan ini menjadi titik tolak kepada kami untuk melahirkan lebih ramai penyelam skuba wanita Puspanita di sembilan daerah di Selangor di mana kami merangkakan setiap daerah dapat melahirkan 10 penyelam skuba dalam tempoh setahun ini,” katanya.

Ditanya mengenai rekod yang dicipta, Yusmah Indrawati berkata, rekod berkenaan diharap dapat bertahan dalam tempoh lima tahun ini dan mereka akan memikirkan program catatan rekod MBOR yang lain selepas ini.

– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/penyelam-skuba-puspanita-catat-rekod-1.85605#sthash.EcJY2zmg.dpuf